Hani Mohsin Dalam Kenangan ( 25 july 06 bersamaan dengan 29 jamadilakhir 1426)
Artikel diambil dari blog Cahya Nur Iman
11:44 PM, 2006-Jul-25 ..
3 comments ..
Link Pagi tadi aku menerima sms dari seseorang mengatakan pelakon dan pengacara yang aku minati Hani Mohsin meninggal dunia , pada mulanya aku tak percaya. Sedih, hiba dan pilu sebab dia ni pelakon yang aku minati dari dulu lagi. Tak dapat ku bayangkan perasaan Hani Karmila satu-satunya zuriat peninggalan Allahyarham Hani Mohsin di saat pemergiaan ayahnya tercinta di hadapan mata. Doaku moga-moga rohnya di tempatkan di tempat orang-orang yang beriman. Aminnn. Untuk Hani Karmila semoga tabah dan redha menerima ketentuan dariNYA. ALLAH lebih menyanyangi ayahmu sayang, walau tanpa ayahmu di sisi hidup ini mesti di teruskan sayang. Ya betapa beratnya penderitaanmu di uji di usia yang terlalu muda..tetapi itulah kehidupan sayang setiap yang hidup akan pergi jua. Kita ini hanyalah pinjaman sementara sahaja. Betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Kini Karmila kehilangan ayahnya yang di kasihi tabahkanlah hatimu sayang. Doaku moga Hani Karmila akan menjadi anak yang solehah dapat menghadiahkan doa untuk ayahnya di alam sana. Tuhan lebih menyanyangimu Hani Mohsin Hanafi bersemadilah dikau dengan aman di alam sana. Biarlah cerita- cerita sedih ini akan ku abadikan di dalam blog kesayanganku ini buat tatapan peminat mu. AL FATIHAH.
Gambar kiriman dari sahabatku.
gambar diambil pada 24 july 06 tengahhari
semalam, dtg office (dtrn mbb,level 8 tower a)
utk menjelaskan hutangnya.
~Cahaya~
Hani Mohsin meninggal dunia akibat serangan jantung
|
Hani Mohsin. |
KUALA LUMPUR 25 Julai – Pelakon filem dan drama terkenal yang juga hos rancangan Roda Impian, Hani Mohsin Hanafi, 41, meninggal dunia akibat serangan jantung selepas pengsan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, di sini hari ini ketika sedang menunggu penerbangan ke Alor Star.
Beliau yang juga bekas suami Datin Seri Tiara Jacquelina menghembuskan nafas terakhir ketika dikejarkan ke Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Sepang, dekat sini selepas pengsan kira-kira pukul 9.30 pagi.
Pelakon tersebut bersama anak tunggalnya, Hani Karmila, 9, dijadual berlepas ke Alor Star sebelum meneruskan perjalanan ke Langkawi untuk bercuti.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Zahedi Ayob memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10 pagi memaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, selepas disahkan meninggal dunia, jenazah Hani Mohsin telah dibawa ke Hospital Serdang di sini kira-kira pukul 1 tengah hari bagi proses bedah siasat.
Tiara Jacquelina dan suaminya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi turut berada di hospital tersebut.
Sementara itu, jenazah Hani Mohsin tiba di rumahnya di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di sini kira-kira pukul 5.30 petang ini sambil diiringi Tiara Jacquelina, Hani Karmila dan Effendi.
Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang di sini selepas solat Isyak sebelum dikebumikan di sebelah pusara ibunya, Hasni Bakar di Tanah Perkuburan Islam Al-Ridzuan, Hulu Klang.
Dalam pada itu, beberapa orang rakan artis termasuk Senator Datuk Jins Shamsuddin, Datuk Mustafa Maarof, A. Rahman Hassan turut menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya itu.
Anak lihat ayah rebah
|
Tiara bersama Effendy Norwawi dan dua anaknya, Hani Karmila dan Eridani memberi perhormatan terakhir kepada Allahyarham Hani Mohsin di Hospital Serdang, semalam. |
KUALA LUMPUR 25 Julai – “Ayah jatuh” demikian kata Hani Karmila yang menghubungi ibunya Datin Seri Tiara Jacquelina tanpa mengetahui bahawa bapanya, Hani Mohsin sudah meninggal dunia.
Menurut Hani Karmila, 9, dia menghubungi ibunya menggunakan telefon bimbit bapanya, Hani Mohsin yang rebah di kaunter pendaftaran AirAsia, Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang hari ini.
Ketika itu, Allahyarham Hani Mohsin Hanafi, 41, dan Hani Karmila baru selesai mendaftar masuk untuk penerbangan ke Alor Star kira-kira pukul 9.50 pagi.
Menurut Hani Karmila, dia terkejut dengan kejadian itu tambahan pula apabila pengawal keselamatan Malaysia Airport Berhad (MAB) dan petugas AirAsia bertungkus-lumus memberi bantuan pernafasan kepada bapanya.
Katanya, bapanya kemudian dikejarkan ke klinik berdekatan Akademi AirAsia, tetapi disahkan sudah meninggal dunia.
Menceritakan detik-detik akhir kejadian itu, Hani Karmila berkata, dia dan bapanya tiba lewat di LCCT dan berada dalam tergesa-gesa menuju ke kaunter pendaftaran.
“Cepat. Kita sudah terlambat,” merupakan kata-kata terakhir yang diucapkan oleh Hani Mohsin kepada Hani Karmila.
Menurut Hani Karmila, dia dan bapanya dalam perjalanan untuk bercuti ke Pulau Langkawi dan Pulau Pinang selama seminggu dan akan pulang pada 1 Ogos ini.
Hani Karmila merupakan anak tunggal Hani Mohsin bersama Tiara Jacquelina hasil perkahwinan mereka pada 11 September 1993. Bagaimanapun pasangan itu bercerai pada 16 Februari 1998.
Tiara Jacquelina kini merupakan isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi.
Sementara itu, menurut Tiara Jacquelina, dia menerima panggilan telefon daripada Hani Mohsin kelmarin yang memaklumkan kegembiraannya dapat bercuti panjang bersama anak mereka itu.
“Arwah betul-betul gembira kerana dapat mengatur percutian bersama Mila (Hani Karmila) setelah sekian lama sibuk bekerja,” jelas Tiara.
Katanya, pemergian Hani Mohsin merupakan satu kehilangan kepada industri hiburan tanah air kerana beliau adalah seorang pelakon yang hebat selain amat berdedikasi dengan apa sahaja kerja dilakukannya.
‘Aku letih, aku nak rehat panjang’
Oleh Wan Mohd Hafiz Wan Hamzah
KUALA LUMPUR 25 Julai – ‘’Letih sangat rasanya, lepas ni aku nak rehat panjang,’’ begitulah luahan terakhir Allahyarham Hani Mohsin Hanafi kepada rakan karibnya, Abdul Halem Mat Som, 40, ketika sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran kepunyaan selebriti Linda Onn, di Ampang Point, Ampang, semalam.
Abdul Halem, yang bertugas sebagai Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkata, sepanjang pertemuan mereka tengah hari itu, Allahyarham berulang kali mengadu keletihan akibat sibuk dengan penggambaran drama.
“Mungkin inilah yang Allahyarham maksudkan dengan ‘rehat yang panjang’. Ketika itu, saya tidaklah ambil berat luahan Allahyarham sebab dia memang bercadang mahu bercuti dengan anaknya, Hani Karmila ke Langkawi,’’ katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham Hani Mohsin di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di sini hari ini.
Menurut Abdul Halem, dia pada mulanya tidak percaya apabila mendapat tahu kematian Allahyarham hari ini kerana baru semalam mereka bergurau serta bergelak ketawa.
Katanya, ketika bertemu Allahyarham semalam, beliau perasan riak wajah Allahyarham agak berbeza berbanding sebelum ini.
“Semalam, saya lihat wajah Allahyarham agak berseri-seri. Saya katakan padanya, mengapa wajahnya nampak berseri-seri, tetapi beliau hanya tersenyum,’’ ujarnya.
Belasungkawa Hani Mohsin Hanafi (18 Jun 1965 - 25 Julai 2006): Pernah ponteng kerja cari peluang berlakon
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
Hani Mohsin menghembus nafas terakhir di hadapan satu-satunya zuriat - Hani Karmila - semalam
TIADA lagi tawa ceria atau gurau senda. Apa yang tinggal kini, hanya cebisan memori yang akan terus terpahat di ingatan mereka yang pernah akrab dengan aktor berwibawa, Hani Mohsin Hanafi.
Pemergian mengejut aktor kelahiran Kangar, Perlis semalam mengusung kenangan. Lebih memilukan apabila impian arwah untuk menghabiskan masa bercuti dengan anak tunggalnya, Hani Karmila di Langkawi, Kedah tidak kesampaian.
Sebaik tiba di Terminal LCCT, Sepang, arwah rebah dan kira-kira jam 10 pagi, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kerana serangan jantung. Tertutup sudah helaian diari kehidupan seorang insan bernama Hani Mohsin dan di hati insan seni, jasanya akan terus mekar dan dikenang.
Mohsin, 41 mula menjinakkan diri dengan dunia lakonan ketika menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan minat itu semakin bercambah apabila melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan.
Di UiTM, Allahyarham mengasah bakat lakonan hingga dilantik sebagai Presiden Persatuan Anak Seni Kampus atau Peska. Selepas tamat pengajian di UiTM pada 1987, Mohsin bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah firma swasta.
Namun, ia bertahan setakat sembilan bulan apabila kerap ponteng bekerja kerana mencari peluang untuk berlakon. Ketika itu, dia menerima tawaran berlakon drama pertama Tapak Gemilang arahan Rahman Adam dan seterusnya siri Naik Tangga Turun Tangga selama 26 episod.
Cerekarama yang dibintangi pada 1988 itu seolah-olah memberi harapan bintangnya dalam bidang seni akan cerah. Kemampuan Mohsin sebagai aktor disegani mula diakui dan filem Jimi Asmara serta Embun membuktikan dia antara pelakon lelaki yang mempunyai ruang mencipta nama besar.
Jimi Asmara benar-benar mempopularkan Mohsin. Malah, sejak muncul dalam filem period arahan pengarah wanita, Erma Fatima ramai peminat memanggilnya dengan nama watak yang dibawakan Mohsin dalam filem itu.
Kesan Jimi Asmara, Mohsin dilamar M Nasir untuk membintangi filem, Merah selepas tertarik dengan penampilannya dalam filem itu.
Secara peribadi, Mohsin puas dengan watak itu apatah lagi peluang membintangi filem period seperti itu tidak selalu datang. Ternyata pengaruh Jimi Asmara agak ‘melekat’ dengan pelakon itu kerana selepas filem terbabit, dia menerima beberapa tawaran watak bercorak period seperti teater, Perempuan Seorang Leftenan Inggeris.
Bagi Mohsin sendiri, watak period memang menarik kerana ia seperti membawanya kembali ke zaman lampau yang klasik. Kelebihan itu juga membawa pengarah asing, John Boorman menawarkannya watak sebagai lelaki Burma dalam filem Beyond Rangoon.
Demi menghidupkan wataknya, Mohsin sanggup botakkan kepala.
Selepas enam tahun berkecimpung sebagai pelakon, Allahyarham memperluaskan langkahnya dengan menjadi produser pada 1994 menerusi syarikatnya, Imagine Pictures. Antara drama yang diterbitkan syarikatnya ialah Boneka, Aida Shada, Kita Bertemu Di Cameron Highlands, Keranda Buat Kekanda, Jauh (12 Episod) dan Pukul 2 Petang.
Pun begitu, Mohsin agak keberatan untuk mencuba bakat sebagai pengarah. Memetik katanya dalam satu temu bual, “Tidak guna jadi pengarah kalau sekadar mahu menambahkan bilangan pengarah tempatan sedangkan hasilnya tiada. Saya belum bersedia kerana banyak lagi ilmu yang perlu ditimba.”
Selain berlakon, Allahyarham juga dikenali sebagai pengacara berkaliber. Rancangan permainan, Roda Impian siaran Astro Ria menyerlahkan nama Mohsin sebagai pengacara apabila terpilih untuk memimpin program itu menggantikan Halim Othman.
Mohsin menyertai Roda Impian pada 2003 untuk musim ke lapan dan sehingga ini sudah merakamkan lebih 500 episod termasuk untuk musim ke-11.
Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan aktres dan produser, Tiara Jacquelina pada 11 September 1993 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hani Karmila. Bagaimanapun, jodoh mereka tidak panjang apabila Mohsin dan Tiara berpisah pada 16 Februari 1998. Perceraian mereka disahkan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 4 Jun tahun yang sama.
"""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""
Edisi Nasional: Cium ayah penuh harapOleh Badrila Jamlus, Ellyna Ali, Norhayati Nordin dan Rashidi Karim
KUALA LUMPUR: “Berkali-kali saya cium pipi ayah dengan harapan dia akan bangun dan sedar. Namun, bila melihat ayah sudah tidak bernafas dan tidak bergerak lagi, barulah saya sedar ayah sudah tiada dan pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya.
“Hanya Tuhan saja tahu betapa sedih dan hibanya perasaan saya. Pada masa itu, saya juga terfikir, kenapa semua ini mesti terjadi pada diri saya, sedangkan kami berdua sedang dalam perjalanan untuk bercuti di Pulau Langkawi bersama,” luah Hani Karmila, 10, ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham bapanya, Hani Mohsin, di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang, malam tadi.
Karmila bersekolah di Sekolah Antarabangsa Alice Smith, di sini, anak hasil perkahwinan Hani Mohsin dengan Datin Seri Tiara Jacquelina. Pasangan itu bercerai pada 1998. Tiara Jacquelina kemudian berkahwin dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi, manakala Hani terus membujang.
Kesedihan jelas tergambar di wajah anak tunggal pelakon dan pengacara terkenal itu yang meninggal dunia mengejut akibat serangan sakit jantung sewaktu mendaftar masuk di kaunter AirAsia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), untuk penerbangan ke Alor Star sebelum ke Pulau Langkawi, pagi semalam.
Masakan tidak, ayah kandung tercinta yang selama ini cukup rapat dengannya dan sentiasa membahagiakan dirinya dan mencurahkan kasih sayang cukup mendalam buat dirinya itu, mati mengejut di pangkuannya sendiri.
Karmila berkata, dia sungguh tidak menyangka kejadian yang menimpa dirinya semalam dan segala-galanya berlaku dengan begitu pantas.
“Pagi itu, saya dan ayah meninggalkan rumah dalam keadaan amat tergesa-gesa. Ayah juga mahu sampai cepat di lapangan terbang kerana bimbang ditinggalkan pesawat.
“Sebaik tiba di lapangan terbang, ayah terus bergegas ke kaunter daftar masuk. Beberapa petugas yang ada di situ cuba menenangkan ayah.
“Waktu itulah saya lihat ayah mengeluh panjang dan tidak lama selepas itu, dia rebah,” kata Karmila.
Menurut Karmila, awalnya dia fikir ayahnya hanya pengsan untuk seketika.
“Sepanjang yang saya tahu, dia tidak pernah sakit. Dia juga seperti doktor kerana tahu banyak perkara dan tahu bagaimana menyelesaikan sesuatu masalah.
“Namun, di hati saya terasa risau dan panik juga. Saya cuba menghubungi ibu (Tiara Jaquelina) dan memberitahu keadaan ayah.
“Pada waktu sama, saya juga cuba mendapatkan bantuan daripada pihak tertentu di lapangan terbang itu.
“Tidak lama selepas itu, seorang doktor datang memberikan suntikan buat ayah, mungkin untuk meredakan tekanannya, sebelum dibawah ke klinik Pusrawi, berhampiran lapangan terbang itu.
“Namun sewaktu dalam perjalanan iaitu kira-kira 10 minit selepas itu, ayah sudah tiada. Sekali lagi saya menghubungi ibu dan memberitahu perkara itu. Ibu terus bergegas datang (ke klinik Pusrawi),” katanya.
Karmila turut menyatakan rasa terkilan kerana tidak dapat menghabiskan percutian bersama ayahnya di Langkawi seperti dirancang.
“Sejak Mac lalu lagi, kami tidak pernah bercuti panjang bersama. Cuti yang diperuntukkan setakat dua tiga hari saja.
“Selebihnya, ayah sentiasa terlalu sibuk dengan tugas dan kerjayanya. Sebab itulah dia merancang percutian ke Langkawi ini bersama saya,” katanya dalam nada hiba.
“Selalu juga orang kata, Tuhan lebih sayangkan orang yang baik-baik sebab itu Dia mengambil nyawa ayah saya. Tuhan lebih sayangkan ayah dan ayah juga seorang manusia yang sangat baik,” katanya.
Walaupun bersedih, Karmila masih mempunyai tempat bermanja kerana dia masih mempunyai seorang lagi ayah (Effendi).
""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""
Edisi Nasional: Kempunan kari ketam, sambal sotong
KANGAR: Allahyarham Hani Mohsin, 41, meminta ibu saudaranya yang tinggal di sini memasak kari ketam dan sambal tumis sotong kegemarannya sebagai juadah makan tengah hari semalam.
Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila pelakon dan pengacara terkenal itu meninggal dunia selepas diserang sakit jantung di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) ketika mendaftar masuk ke kaunter penerbangan ke Alor Star bersama anak tunggalnya, Hani Karmila, 10, kira-kira jam 9.30 pagi.
Ibu saudaranya, Hasnu Bakar, 60, berkata Hani menelefonnya malam kelmarin dan meminta dia memasak kari ketam dan sambal tumis sotong untuk makan tengah hari bersama keluarga di rumahnya di Taman Sena Indah, di sini.
“Saya meminta seorang peniaga di pasar menghantar ketam dan sotong untuk dimasak seperti yang dia minta malam tadi (kelmarin). Ketika membuat persiapan untuk memasak, saya diberitahu Hani meninggal dunia secara mengejut.
“Saya lemah dan sebak mendengar berita kematian Hani kerana baru malam tadi (kelmarin) saya berbual dengannya menerusi telefon. Allahyarham yang sudah tidak mempunyai ibu bapa, sangat rapat dengan saya.
“Dia beria-ria mahu pulang ke rumah ini bersama Hani Karmila untuk beristirahat di Langkawi memandangkan anak tunggalnya yang bersekolah di Bukit Antarabangsa sedang bercuti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Ketika ditemui, Hasnu bersama suaminya, Yaacob Samah, 66, dan anaknya Yahasmizan, 42, sedang bersiap untuk bertolak ke Kuala Lumpur bagi menziarahi jenazah Hani.
Hasnu berharap dia dapat menatap wajah Hani sebelum jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang.
Edisi Nasional: Rebah depan anakPUTRAJAYA: Pelakon dan pengacara terkemuka, Hani Mohsin Hanafi, 41, yang meninggal dunia dipercayai diserang sakit jantung, sempat memegang pas pelepasan masuk sebelum tiba-tiba rebah dan pengsan di hadapan kaunter 30, AirAsia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, dekat sini, pagi semalam.
Allahyarham yang menyedari terlewat untuk mendaftar masuk bagi menaiki pesawat AK6343 ke Alor Star, dilihat berlari ke arah kaunter bersama anak perempuan tunggalnya, Hani Karmila, 10 tahun.
Penerbangan itu dijadualkan berlepas pada jam 10.20 pagi.
Dengan hanya membawa beg galas, Allahyarham difahamkan mahu bercuti di Langkawi bersama anaknya yang bersekolah di Sekolah Antarabangsa Alice Smith.
Pembantu Peribadi kepada Pengerusi AirAsia Bhd dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Edd Razhe, berkata Allahyarham adalah penumpang terakhir mendaftar masuk untuk berlepas dan ketika tiba di kaunter itu, wajahnya kelihatan kebiruan.
Beliau berkata, kakitangan kaunter 30, Nickhlos Loh Yuen Chuan, memaklumkan, Allahyarham berlari ke kaunter kerana menyedari terlewat untuk menaiki pesawat.
“Mukanya kelihatan kebiruan setibanya di kaunter 30 dan tiba-tiba beliau terus rebah di hadapan anak perempuannya menyebabkan kakitangan yang bertugas terkejut.
“Suasana di sekitar LCCT bertukar kecoh dan menyebabkan beberapa penumpang kelihatan panik. Ada yang menghampiri untuk menyaksikan kakitangan AirAsia dan Malaysia Airports Berhad (MAB) cuba memberi bantuan kecemasan kepada Allahyarham,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.
Kakitangan AirAsia itu adalah Mohd Aliff Abdullah, turut memberi bantuan pernafasan dari mulut ke mulut.
Namun usaha itu gagal lalu Allahyarham dibawa ke Pusat Perubatan Pusrawi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berhampiran terminal kargo kira-kira satu kilometer dari LCCT.
Beliau berkata, kematian mengejut itu pertama kali berlaku sejak LCCT dibuka secara rasmi pada 23 Mac lalu.
Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham bagi pihak AirAsia.
Jurucakap Balai Polis KLIA ketika dihubungi mengesahkan mereka menerima panggilan telefon daripada kakitangan pusat operasi lapangan terbang itu pada jam 10.40 pagi.
Katanya, selepas menerima laporan itu, beberapa anggota polis terus berkejar ke LCCT dengan diketuai Ketua Polis Balai KLIA, Sarjan Mejar K Veerusingam.
Sementara itu, bekas isteri Hani Mohsin, Datin Seri Tiara Jacquelina yang ditemui di Hospital Serdang, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada Hani Karmila kira-kira jam 10 pagi yang memaklumkan bapanya pengsan.
“Selepas menerima panggilan telefon daripada Mila, saya yang ketika itu berada di rumah terus berkejar ke KLIA dan tiba di Pusrawi pada jam 10.30 pagi.
“Doktor memaklumkan Allahyarham meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusrawi,” katanya yang tiba di Hospital Serdang kira-kira jam 1 tengah hari dengan ditemani suaminya, Datuk Seri Effendi Norwawi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Suasana sedih menyelubungi bilik kecemasan Hospital Serdang sebaik saja jenazah Allahyarham tiba dengan ambulans.
Bertambah sebak apabila Hani Karmila yang berbaju kemeja-T kuning dan berseluar jeans tidak henti-henti menitiskan air mata sambil ditenteramkan ibunya, Tiara dan Effendi.
Tiara menyifatkan Hani Mohsin sebagai seorang yang penyayang, terutama kepada satu-satunya anak mereka itu.
Menurutnya, Allahyarham tidak pernah memberitahunya menghidap penyakit jantung.
“Setiausahanya, memberitahu saya, Allahyarham baru menjalani pemeriksaan di klinik, kelmarin akibat batuk dan selesema.
“Tetapi, dia tidak memaklumkan kepada sesiapa, termasuk saya, bahawa beliau mempunyai penyakit jantung, tapi ayahnya meninggal dunia akibat sakit jantung pada 1995,” katanya.
Mahu bercuti dengan anakOleh Hartati Hassan Basri
PELAKON dan pengarah Hani Mohsin yang meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi semalam, bagaikan sudah tahu ‘pemergiannya’ apabila menyiapkan rakaman akhir Roda Impian musim ke-11 pada 21 Julai lalu, sebelum bercuti bersama anak tunggalnya, Hani Karmila, 10.
Penerbit Eksekutif Roda Impian, Adi Shamsul Abdul Hayee berkata, rakaman bagi 130 episod Roda Impian musim ke-11 dijalankan sejak Februari lalu dan selesai 21 Julai lalu.
Katanya, ia kini disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat menerusi Astro Ria, jam 7.30 malam dan dijangka berakhir penghujung bulan depan.
“Peminat Mohsin berpeluang menyaksikan kerja terakhirnya menerusi program game show itu kerana beliau menyiapkan rakaman episod akhir juara tahunan pada 21 Julai lalu.
“Kebetulan hari akhir itu saya tidak ada kerana terbabit dengan program Akademi Fantasia musim keempat (AF4) di Petaling Jaya.
“Dua hari sebelum itu, saya sempat makan tengah hari bersamanya sebelum rakaman dijalankan. Saya tidak nampak apa-apa perubahan padanya kerana dia biasa saja.
“Seperti biasa, dia rajin berbual. Saya juga tidak lupa berpesan kepadanya supaya tidak melakukan banyak kesilapan ketika rakaman nanti supaya ia berjalan dengan lancar dan selesai segera,” katanya, semalam.
Adi Shamsul berkata, dia sudah mengenali Mohsin sebelum dia menjadi pengacara Roda Impian lagi tetapi tidaklah begitu rapat.
“Bagi saya beliau seorang yang peramah dan terbuka kerana akan meminta komen saya mengenai prestasinya. Paling penting, dia tidak berkira. Dia juga rajin mengajak saya datang ke pejabatnya untuk melihat drama yang diterbitkannya,” katanya.
Mohsin atau nama sebenarnya, Hani Mohsin Mohd Hanafi, 41, mula mengendalikan program yang diadaptasi daripada Wheel of Fortune itu sejak musim kelapan pada 2003 menggantikan Halim Othman.
Ketika itu Mohsin berpasangan dengan pelakon Siti Shahrizah atau Eja sebagai pembuka kotak kemudian digandingkan pula dengan bintang Akademi Fantasia musim pertama (AF1), Nurlizawaty Mohd Ismail atau Liza, 25. Untuk musim terbaru ini, Mohsin digandingkan dengan pelakon baru, Irma Hasmie.
Irma ketika dihubungi mengakui terkejut apabila dimaklumkan Penerbit Roda Impian, Budi Utomo mengenai berita kematian Mohsin pagi semalam kerana ia berlaku secara tiba-tiba.
Katanya, dia kini menjalani penggambaran filem Diva di Port Dickson, Negeri Sembilan dan tidak dapat bersama-sama rombongan Roda Impian menziarah jenazahnya.
“Itu yang saya terkilan sangat kerana tidak boleh meninggalkan lokasi.
“Kali terakhir saya berjumpa dengannya ialah ketika rakaman akhir Roda Impian pada 21 Julai lalu. Saya tidak nampak ada apa-apa perubahan padanya tetapi dia ada mengadu kurang sihat kerana sakit tekak.
“Katanya, dia tidak sedap badan tapi waktu sama mengatakan tidak sabar hendak bercuti dengan anaknya kerana sudah membeli tiket kapal terbang.
“Beliau juga selalu bercerita mengenai anaknya. Ada kalanya mengatakan hendak balik awal kerana mahu bermain dengan anaknya. Dia meluahkan rasa terkilan dan sedihnya kalau sibuk bekerja dan tidak dapat menghadiri konsert anaknya.
“Saya juga tidak sangka beliau ada penyakit jantung kerana setahu saya beliau begitu menjaga makan dan kesihatan dengan mengambil vitamin,” katanya.
"""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""
Hanya Karmila ditinggalkan (Harian Metro 18.7.2006)Oleh Ellyna Ali
DEMI persahabatan yang sekian lama terjalin, rakan-rakan Allahyarham Hani Mohsin Hanafi yang sama menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sekitar 1978-1980 mengambil inisiatif mengadakan majlis tahlil buat arwah di kediamannya di Bukit Antarabangsa.
Bermula malam kelmarin, majlis kenduri tahlil yang dirancang selama tiga malam berturut-turut itu diadakan selepas solat Isyak dengan dihadiri 200 tetamu jemputan serta rombongan anak yatim dari Rumah Bakti Hulu Klang.
Seorang rakan arwah dari MCKK, Azmi Massoh berkata, insiatif mengadakan majlis tahlil itu dilakukan kerana menyedari arwah seorang anak tunggal serta yatim piatu.
“Memang dia punya sanak-saudara di sebelah ibu dan bapanya tetapi apa yang kami tahu kebanyakannya menetap di Perlis.
“Maka sebab itulah kami tampil untuk mengadakan majlis kenduri ini. Awalnya kami mahu mengadakan majlis tahlil ini di surau yang terletak berdekatan saja.
“Namun, selepas mendapat keizinan daripada ibu saudaranya serta bekas isterinya Datin Seri Tiara Jacquelina, akhirnya majlis tahlil ini dibuat di rumah arwah.
“Kita juga memang bercadang membuat tahlil ini selama tiga malam berturut-turut dan malam ini adalah malam terakhir.
“Harap-harap, lebih ramai lagi rakan dari MCKK akan datang menghadiri majlis tahlil arwah ini,” katanya.
Majlis tahlil itu turut menghimpunkan saudara-mara arwah yang berada di Perlis.
Anak arwah, Hani Karmila yang ditemani bapa tirinya, Datuk Seri Effendi Norwawi turut kelihatan.
Dia mula nampak begitu tenang dan bersemangat berbanding beberapa hari dulu, malah kelihatan seronok berbual bersama sepupunya yang datang dari Perlis.
Sesekali dia mendakap nenek saudaranya, Hasnu Bakar, 60, yang sebelum ini dilaporkan sudah menyediakan masakan kari ketam dan sambal sotong sebagai juadah makan tengah hari buat arwah.
Wajah Hasnu pula nampak sayu tatkala Karmila berbuat begitu. Mungkin, kasihan memikirkan nasib si anak kecil itu yang sudah tidak berbapa pada usia yang masih muda.
“Tak sangka Mohsin sudah tiada. Hanya inilah satu-satunya peninggalan Mohsin,” katanya sambil mengusap-ngusap kepala Karmila.
Karmila memang seorang anak yang bijak, peramah dan mudah mesra kepada sesiapa termasuk dengan aktres Azizah Mahzan yang selama ini memang cukup rapat dengan arwah bapanya.
Malah, dia turut mendakap erat Azizah sambil membiarkan wanita itu membelai serta menciumnya berkali-kali.
“Saya tidak sanggup sebenarnya hendak melihat rumah ini. Banyak sebenarnya kenangan arwah bersama saya di rumah ini.
“Cuba tengok di dinding luar rumah ini. Tahu tak siapa yang mengecatnya? Saya dan arwahlah yang punya kerja.
“Tapi, kebanyakannya arwah yang melakukannya sendiri dan saya pula menjadi tukang tengok. Untuk menghasilkan bahagian itu, memaksa kami menggunakan 13 warna,” katanya dengan suara terharu.
Selain Azizah Mahzan, pengarah Mat London juga turut kelihatan di majlis tahlil itu.
Hanya mereka berdua saja yang ada di kalangan rakan perjuangan seni yang hadir. Ke mana pula perginya yang lain-lain?
DARI ALLAH KITA DATANG KEPADANYA JUA KITA KEMBALI AL FATIHAH.
p/s tatkala menonton melodi air mataku ku jua mengalir bila melihat sekali imbas wajah tenang allahyarham Hani Mohsin, bertambah sedih bila melihat Hani Karmila tak henti-henti menitikan air mata dan tanggisannya meruntun juwaku.
Hati anak mana yang tidak sedih bila saat gembira bersama ayahnya hendak pergi bercuti lantas di rentap tiba-tiba dengan tragedi yang menyayat hati ini. Namun apalah daya kita bila Izrail datang tidak tahu tempat dan ketika. Bila mengenang ini semua rasa diri ini juga takut..adakah sudah bersedia kita andai Izrail menjemput? Cukupkah bekalan kita? Ah~ persoalan yang aku sendiri tidak mampu jawab.
Yang pergi tetap akan pergi untuk selama-lamanya yang hidup teruskan hidup ini. Yang penting kita tidak melupakan siapa diri kita dan pencipta kita. Buatlah amal sebelum mati.........................
Leave a Comment Untitled Comment
1:20 PM, 2006-Jul-28 .. Posted by Anonymous
I am one of his big fan also.. sedih sangat.. semoga rohnya dicucuri rahmat... Al-Fatihah buat Hani Mohsin..
Untitled Comment
2:44 PM, 2006-Jul-28 .. Posted by Anonymous
saya pun minat sangat kat allahyarham hani mohsin ni...dr kecik lagi saya suka tengok lakonan dan muka dia yg manis dan tenang...saya sedih sangat bila dapat tau dia dah tak ada....kesian kat dia tak ada ibu bapa dan adik beradik....marilah kita sama-sama doakan agar rohnya dirahmati allah...
Tetap dalam hati...
6:05 PM, 2006-Jul-31 .. Posted by Yun Isqandar
Walau dah seminggu pemergian allahyarham... Masih terpandang2 wajahnya yang manis. Terlihat2 keletah serta reaksinya dalam rancangan Roda Impian setiap petang sepanjang minggu...
Saya mungkin bukan antara barisan peminatnya yang terlalu fanatik. Tetapi apabila mendengarkan berita yang mengejutkan tanggal 25/7 yang lalu, hati saya tersentap. Mengapa manusia sebaik itu harus pergi dahulu? Saya tertanya2... Namun Qada' & Qadar harus diterima. Kasihan kepada yang ditinggalkan terutamanya kepada si kecil... Satu2nya buah hati pengarang jantung allahyarham... Hani Karmila... Kenyataan dan hakikat harus diterima. mungkin kini senyum sudah pun terukir di bibirnya, tetapi demi Tuhan... hanya Dia sahaja yang tahu apa yang anak kecil ini rasa tatkala kenangan lama menggamit jiwa. Lebih2 lagi ayahanda tercinta perginya di depan mata. Menontonkan siaran melodi semalam, dengan tidak disangka2 airmata ini mengalir juga di hadapan suami dan anak2 yang tercinta... Andai kiranya dapat ku pohon walau sehari lagi untuk kuluahkan segala rasa cinta ini... If tomorrow never comes... Wallahuallam... Al-Fatihah...