Monday, July 30, 2007

Kejutan Tiara buat Hani Karmila

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

TARIKH 25 Julai tahun lalu, dunia seni hiburan dikejutkan dengan berita pelakon versatil, Hani Mohsin menghembuskan nafas terakhir ketika dikejarkan ke hospital selepas pengsan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, akibat serangan jantung.

Allahyarham pergi buat selama-lamanya pada usia 41 tahun ketika merancang untuk bercuti bersama anaknya, Hani Karmila, 10, ke Langkawi.

Tanpa disedari, peredaran masa yang semakin pantas menghadirkan tarikh yang sama lagi. Lalu genap sudah setahun hilangnya insan seni yang berkarisma itu.

Dan pada malam 25 Julai lalu, di banglo Allahyarham tidak berlalu sepi seperti malam-malam sebelumnya. Satu majlis tahlil dianjurkan oleh bekas isteri Allahyarham, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Selesai majlis tahlil, Tiara menghadiahkan sebuah buku koleksi gambar Allahyarham dari zaman kanak-kanak sehingga bergelar pelakon buat Hani Karmila yang mesra dengan panggilan Mila.

Anak tunggal itu adalah hasil perkahwinan Tiara dengan Mohsin pada 11 September 1993. Bagaimanapun pasangan itu bercerai pada 16 Februari 1998.

Tiara kini merupakan isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi dan dikurniakan anak lelaki bernama Eridani.