Thursday, November 30, 2006

Doa buat Allahyarham Mohsin

Gebang: Arwah Mohsin ayah penyayang


MEMANG semua rakan artis dan wartawan hiburan terkejut apabila Allahyarham Hani Mohsin Hanafi disahkan meninggal dunia selepas rebah di kaunter AirAsia di LCCT, pagi Selasa lalu. Maklumlah ketika hayatnya dulu, arwah kelihatan sihat dengan keadaan fizikal tubuhnya yang tegap, kata orang maintain.

KEMESRAAN sentiasa terpancar
antara arwah dan anaknya,
Mila.


Pernah satu ketika, saya bertanyanya, "Wei Mohsin, macam mana hang boleh maintain jaga badan? Aku tenguk perut hang pun tak boroi. Hang mesti selalu pi gym kot?"

Lalu sambil ketawa dia menjawab: "Alah senang saja, kalau hang tak ada masa pi gym, kat rumah pun boleh exercise juga. Hang ambik saja benda yang panjang macam batang mop ke, lepas tu hang letak di belakang bahu dan duduk tegak-tegak. Lepas tu hang pusing la badan ke kanan dan kiri. Haa, buat selalu, mesti perut jadi kempeh (kempis)!"

Mendengar petua dan tips arwah itu, saya terus tertawa. Bunyinya macam merapu dan tidak serius tetapi apabila dicuba, hai berkesan juga kalau rajin dan berdisiplin!

Sebenarnya itulah Mohsin yang sememangnya selamba, suka melawak dan happy-go-lucky. Kalau kami berjumpa, maka dia bercakaplah loghat Perlis dan saya pula, Kedah. Satu ketika dulu dia rajin SMS saya kalau ada drama lakonannya akan muncul di kaca TV.

Namun siapa sangka, dalam senyap-senyap, rupanya Mohsin mengidap penyakit jantung. Mungkin juga keadaan dirinya itu bertambah kronik disebabkan tekanan tugas seharian, stress atau faktor lain yang menjadi rahsia peribadinya. Orang Putih selalu berkata, life begins at 40 tetapi dalam usia 41 tahun, Hani Mohsin sudah pergi menemui Tuhannya. Malah pemergian beliau sama macam insan seni lain yang berbakat seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Nordin Ahmad dan Sudirman Haji Arshad.

Seperti yang saya katakan tadi, memang mengejutkan apabila pagi Selasa lalu, saya menerima berita menyedihkan itu daripada teman editor Dean dari Kosmo! Tidak lama kemudian, Tiara pula menelefon dan mengesahkan lagi kejadian itu. Saya terkedu sekejap kerana tidak percaya.

Saya difahamkan, sebelum rebah, Mohsin dan anaknya Hani Karmila (Mila), 9, berlari-lari ke kaunter check-in AirAsia. Dia memang tercungap-cungap dan ketika itu wajahnya juga sudah mula kebiruan. Sejurus selepas itu, dia terus rebah dan bermulalah episod sedih yang disaksikan sendiri oleh Mila.

Sememangnya arwah ingin menghadiahkan satu percutian surprise kepada Mila selepas sekian lama mereka tidak bersantai. Kita tentu boleh membayangkan bagaimana cerianya seorang ayah dan anaknya apabila ingin pergi bersantai di sebuah pulau dalam suasana riang dan ceria. Namun itulah ketentuan takdir.

Membuka halaman Berita Harian pada Rabu dan Khamis lalu, hati ini terus jadi sayu melihat wajah hiba Mila yang amat sedih dengan pemergian ayahanda tercinta. Semuanya berakhir dengan begitu tragik tetapi seperti kata Tiara, Mila sangat tabah dan matang dalam usia sebegitu muda.

Sekalipun dia menangis teresak-esak, dia masih lagi boleh memberikan kenyataan kepada pihak media. Mila juga yang mula-mula menghubungi Tiara dan memaklumkan arwah jatuh pengsan dan kemudian meninggal dunia di LCCT.

"Kejadian yang pernah berlaku pada saya dulu sekarang berulang semula pada Mila. Dulu, ayah juga meninggal dunia dalam pangkuan saya dan usianya lebih kurang seperti Mohsin iaitu awal 40-an," kata Tiara, sehari selepas pemergian bekas suaminya yang kekal sebagai sahabat sehingga ke akhir hayat itu.

Melihat apa yang berlaku, siapa kata suami dan isteri yang sudah bercerai mesti bermasam muka dan bermusuh. Apatah adanya anak sebagai penyambung zuriat, air yang dicincang pasti tidak akan putus.

Malah saya terharu dan bersyukur kerana Mohsin tidak sendirian apabila menutup mata. Dia mungkin hidup sebatang kara tanpa adik beradik, isteri dan menjadi anak yatim piatu. Namun ketetapan Tuhan ke atas manusia yang baik, jujur dan berbudi pekerti seperti arwah Mohsin itu sangatlah adil.

Allahyarham akhirnya menghembuskan nafas terakhir di sisi anaknya sendiri dan kemudian jenazahnya pula diuruskan keluarga bekas isterinya, Tiara serta suami, Datuk Seri Effendi Norwawi. Semuanya sudah disusun-susun Yang Maha Berkuasa.

Baiklah, dalam kesempatan ini, marilah kita berdoa semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama golongan yang beriman. Jumpa lagi.


Sama-sama kita aminkan doa ini...........

"Ya Allah, kau ampunkanlah segala dosa-dosanya( sebutlah namanya). Kau cucurilah rahmat ke atas rohnya dan tempatkanlah dia bersama-sama dengan golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Engkau selamatkanlah dia dari segala siksaan dan azab kubur, Engkau selamatkanlah dia dari segala siksaan dan azab neraka dan Engkau masukkanlah dia ke dalam syurga Mu Ya Allah. Amin, amin Ya Rabbal alamin"
Al-Fatihah.

Tinggal kenangan......

Image Hosting by PictureTrail.com

~Cahaya~

0 Comments:

Post a Comment

<< Home