Mohsin , Eja & Roda Impian
Eja
Dengan pengacara dan set penggambaran terbaru, Roda Impian Musim Lapan diharap dapat menambat perhatian penonton setia siri game show itu di negara ini. Ia masih mengekalkan Siti Shahrizah atau Eja sebagai pengacara bersamanya tetapi kemunculan Hani Mohsin sebagai hos utama diyakini memberi nafas baru.
Jika bersama Halim Othman, Eja cuma bercakap sepatah dua saja tetapi dengan Hani Mohsin dia diberi peluang lebih keletah. Rambut Eja juga pendek bagi menampakkan imej segar. Mohsin pula lebih banyak ketawa menjadikan game show paling lama disiarkan di Malaysia ini lebih mesra penonton.
Sewaktu menyaksikan rakaman Roda Impian Musim Lapan di Astro baru-baru ini, memang banyak perbezaan jika ingin dibandingkan antara Halim dan Mohsin sebagai pengacara. Bukan ingin menunjukkan siapa lebih baik, namun kedua-dua mereka mempunyai karisma tersendiri.
Tanpa yang lama, tentu tidak ada yang baru dan masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri.
Dalam diam tak diam, sudah 50 episod siri Roda Impian Musim 8 berjaya dikendalikan Mohsin. Setiap hari, lima episod dirakamkan bermula dari pagi membawa ke petang. Cuma tinggal lima episod lagi bagi menyiapkan rakaman blok pertama yang keseluruhannya 55 episod sebelum krew Roda Impian berhenti rehat hampir tiga minggu sebelum meneruskan rakaman blok kedua pula.
Mohsin ketika ditemui berkata, dia kini sudah semakin biasa mengendalikan Roda Impian.
“Kalau mula-mula dulu saya agak kekok terutama apabila penerbit jerit cut! Yang susahnya rancangan ini dirakamkan secara terus. Banyak cutting point yang saya kena ingat, misalnya bila untuk berhenti rehat bagi memberi laluan kepada iklan, hadiah, markah dan macam-macam lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Mohsin bertuah kerana tenaga produksi Roda Impian banyak membantunya.
“Sebelum masuk studio rakaman, Mohsin perlu menjalani latihan intensif selama dua minggu. Waktu Halim dulu, latihannya memakan masa enam bulan tapi dengan Mohsin, dia kena ragging - latihannya memang padat bermula jam 9 pagi hingga 6 petang,” kata penerbit Roda Impian, Sofia Akzan.
Sofia berkata, impak rancangan ini banyak bergantung pada Mohsin dan juga Eja terutama pada awal dan penutup rancangan.
“Mereka kena fikir sendiri apa yang ingin dicakapkan. Musim ini, kami beri peluang kepada Eja untuk lebih banyak bercakap,” katanya.
Mohsin berkata lagi, dengan tempoh rehat yang singkat bagi setiap episod rakaman, dia perlu berfikir pantas.
“Masa rehat 10 minit itulah saya gunakan sepenuhnya untuk tukar baju, betul mekap dan waktu itu juga saya dan Eja akan berbincang apa yang ingin dicakapkan. Tapi Eja banyak membantu dan saya senang bekerja dengannya,” ujar aktor filem Jimi Asmara itu.
Mohsin berkata, selain memperkenalkan kategori baru untuk peserta selesaikan, dia juga menerangkan maksud perkataan-perkataan klasik yang jarang disebut untuk pengetahuan bersama.
Antara kategori baru yang diperkenalkan adalah Atlit & Sukan, Artis & Karektor, Pemimpin & Negara selain petak baru yang disediakan bersama bagi membolehkan peserta memilih RM500 bagi nilai petak di atas atau petak di bawah dengan nilai berbeza yang menjangkau ribuan ringgit.
Mengenai set penggambaran pula, jika dulu warna hijau banyak digunakan kini settingnya memilih warna unggu lembut (lavender) dan emas bagi menggambarkan konsep millenium. Ia turut menerapkan unsur etnik dan artistik masyarakat Melayu dengan adanya ukiran kerawang.
Yang lucunya, apabila seorang peserta meminta huruf S untuk Serina, Mohsin nyata tidak gelabah. Malah senyumnya panjang dan pantas memintas!
0 Comments:
Post a Comment
<< Home