Wednesday, February 14, 2007

Belasungkawa Hani Mohsin 26/07/2006

Belasungkawa Hani Mohsin
2006-07-26 13:53:16.0



Dalam kenangan: Hani Mohsin (1963-2006) bukan seorang tahu rasa kecewa, malah sentiasa bersyukur atas segala yang telah dipinjamkan kepadanya. (Foto The Star)
Ketika mula menjejaki dunia seni di awal perjalanannya dulu, allahyarham Hani Mohsin Hanafi adalah seorang yang agak pemalu. Niatnya ketika itu hanya satu, untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan. Filem-filem yang dilakonkannya pada awal pembabitannya telah membuat namanya melonjak menjadi hero No. 1 pada ketika itu.

Walaupun disanjung dan dipuja suatu ketika dulu, pelakon utama Jimi Asmara ini tidak pernah menganggap popularitinya hebat. Yang selalu tersemat dihatinya adalah laluan dan ranjau yang terpaksa dihadapi ketika dia mula ingin mencipta nama.

Pembabitannya dalam bidang seni diterima ramai. Jumlah drama yang dilakonkannya sudah tidak mampu untuk dibilang dengan jari, begitu juga dengan filem serta teater.

Pelakon yang berasal dari Perlis dan pernah terbabit dalam pembikinan filem terbitan Hollywood, Beyond Rangoon pada tahun 1995, tidak memikirkan soal populariti.

“Saya tidak suka mengejar publisiti. Yang penting dalam hidup saya ialah dua perkara iaitu kepuasan dan kewangan,” ujar graduan lepasan UiTM ini.
Bagi Mohsin, pengurusan yang betul adalah penting untuk membentuk karier seorang anak seni sepertinya.

Mungkin sifat semulajadinya yang merendah diri membuat beliau rasa tidak layak disamakan dengan pelakon-pelakon popular yang lain (Foto The Star)

Hani yang seri membawa watak hero ini adalah seorang pelakon yang cukup berbakat.(Foto The Star)
Mungkin sebab itu juga, walaupun Mohsin sudah membintangi berpuluh drama dan lebih dari 10 buah filem, Mohsin tidak pernah menganggap dirinya popular atau sebaris pelakon-pelakon popular yang lain.

Mungkin sifat semulajadinya yang merendah diri membuat beliau rasa tidak layak disamakan dengan pelakon-pelakon popular yang lain. Di dalam setiap pertemuan, Mohsin akan selalu berkata pencapaiannya di dalam bidang seni bukanlah tinggi sangat.

“Saya bukanlah sepopular orang lain tetapi, alhamdulillah, saya juga tidak berada di bawah. Pencapaian saya sekadar berada di peringkat yang biasa sahaja,” Mohsin pernah berkata di satu pertemuan tidak lama dulu.

Duda tampan yang selalu membawa watak hero di dalam Operasi Cegah Jenayah (OCJ), Hanny, Ringgit Kasorrga, Beyond Rangoon, Jimi Asmara, Scoop, Embun, Pontianak, Histeria, Spinning Gasing dan Merah, adalah seorang pelakon yang cukup berbakat.

Walaupun dianugerahkan dengan wajah klasik dan bakat yang besar, perjalanan seninya tidak serancak yang dia harapkan.

Tidak seperti pelakon lain, nama Hani Mohsin tidak pernah dijulang dalam festival atau pertandingan yang memberi penghormatan kepada golongan seni sepertinya. Namun Mohsin tidak kecewa.

“Cerita pasal saya memang kurang sebab saya mengaku tidak ada cerita yang menarik untuk dikongsi dengan orang ramai jika dibandingkan dengan artis lain,” Mohsin pernah meluahkan isi hatinya ketika ditanya kenapa dia agak dingin dengan para media.

Pernah juga Mohsin berkata, popularitinya sudah memadai.

“Sekadar nama dan rupa saya dikenali, itu sudah cukup. Yang penting saya perlu komited dan konsisten dalam kerjaya saya,” katanya lagi.

Dan itulah yang cuba dibuktikan oleh Mohsin di akhir usianya. Seorang yang dedikasi dan cukup kuat bekerja, Mohsin juga adalah penerbit, penulis skrip dan juga pelakon. Mohsin bekerja keras untuk kepuasan berkarya.

Dalam satu temuramah, beliau pernah menyatakan kecintaannya terhadap bidang seni melebihi segala-galanya, walaupun tidak menerima sebarang pengiktirafan.

Mohsin sering berkata tanggungjawabnya sebagai pelakon masih banyak yang belum disempurnakan. (Foto The Star)
“Biarlah saya tidak menerima sebarang anugerah sekalipun, itu bukan persoalan yang terus membelenggu atau menyebabkan hidup saya kucar-kacir.

“Jika ada anugerah, ia sebagai bonus buat saya. Jangan risau dan bimbang saya tidak pernah berkecil hati. Barangkali, bukan rezeki saya lagi. Insya-Allah pada masa depan siapa tahu tuah akan menyebelahi saya pula,” ujarnya.

Mohsin sering berkata tanggungjawabnya sebagai pelakon masih banyak yang belum disempurnakan. Begitu juga bidang pengarahan diceburi menuntutnya bekerja lebih keras.

Anak tunggal yang dilahirkan pada tahun 1963 ini tidak pernah puas dengan segala hasil kerjanya. Tetapi dia bukan seorang tahu rasa kecewa. Malah Mohsin seorang yang senantiasa bersyukur atas segala yang telah dipinjamkan kepadanya.

Dan begitulah suratan takdir apabila Allah menjemputnya. Ayah tersayang kepada satu-satu anaknya Hani Karmila, 9 tahun telah diserang sakit jantung ketika ingin menghabiskan percutian dengan Karmila pada jam 9.30 pagi di Terminal Air Asia. Di situlah Mohsin rebah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Jenazahnya telah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum di bawa ke rumahnya di No. 9, Jalan Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home