Sunday, November 19, 2006

Hani Mohsin - Pergi Tak Kembali

Tanggal 25 Julai, 2006 (Selasa) bersamaan 29 Jamadil Akhir 1427 bumi Malaysia dikejutkan dengan perkhabaran pulangnya insan seni Hani Mohsin Bin Mohd Hanafi ke rahmatullah dalam usia yang begitu muda, baru menginjak 41 tahun.

Allahyarham meninggalkan permata hati nan satu, Hani Karmila 9 tahun. Permata hati yang comel, kuat semangat, tabah dan petah berkata-kata ditinggalkan di terminal terakhir perjalanan hidup di bumi Allah ini tika merancang percutian ke Langkawi. Begitu besarnya kurniaan Allah yang maha pencipta, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di sisi permata hatinya. Itulah impian dan doa Allahyarham sebelum ini seperti yang pernah disuarakan kepada rakan terdekat.

Kini telah hampir 4 bulan Allayarham bersemadi di alam baqa. Moga roh allahyarham di cucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman, InsyaAllah.

Sebagai mengenang perjalanan hidup allahyarham sebagai insan seni yang disenangi banyak pihak, saya mengambil kesempatan ini mencoretkan dan mengkisahkan serba sedikit biodata serta aktiviti seni allahyarham ketika hayatnya dan sehingga hari-hari terakhir allahyarham sebelum dijemput Illahi. Semoga coretan dan pengkisahan ini dapat mengubat kerinduan terhadap allahyarham, kerana allahyarham adalah idola saya dan bonda sejak dahulu lagi.

Saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya coretan kenangan yang terdapat di ruangan ini tanpa saya sedari tersasar atau menyinggung hati mana-mana pihak.

Demikianlah adanya......





Nama :
Hani Mohsin Bin Mohd Hanafi

Tarikh Lahir : 18 Jun 1965- 25 Julai 2006)

Tempat Lahir : Kangar, Perlis.

Pendidikan : MCKK, UiTM Shah Alam - Pentadbiran Perniagaan.

Kerjaya : Artis terkenal dari Malaysia, Producer dan juga pengacara

rancangan gameshow tempatan Roda Impian.

Kehidupan Awal

Beliau yang dilahirkan di Kangar, Perlis mula menjinakkan diri dengan dunia lakonan ketika menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan minat itu semakin bercambah apabila melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan.

Di UiTM, Allahyarham mengasah bakat lakonan hingga dilantik sebagai Presiden Persatuan Anak Seni Kampus atau Peska. Selepas tamat pengajian di UiTM pada 1987, Mohsin bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah firma swasta.

Kerjaya Seni

Namun, ia bertahan setakat sembilan bulan apabila kerap ponteng bekerja kerana mencari peluang untuk berlakon. Ketika itu, dia menerima tawaran berlakon drama pertama Tapak Gemilang arahan Rahman Adam dan seterusnya siri Naik Tangga Turun Tangga selama 26 episod.

Cerekarama yang dibintangi pada 1988 itu seolah-olah memberi harapan bintangnya dalam bidang seni akan cerah. Kemampuan Mohsin sebagai aktor disegani mula diakui dan filem Jimi Asmara serta Embun membuktikan dia antara pelakon lelaki yang mempunyai ruang mencipta nama besar.

Jimi Asmara benar-benar mempopularkan Mohsin. Malah, sejak muncul dalam filem period arahan pengarah wanita, Erma Fatima ramai peminat memanggilnya dengan nama watak yang dibawakan Mohsin dalam filem itu.

Kesan Jimi Asmara, Mohsin dilamar M Nasir untuk membintangi filem, Merah selepas tertarik dengan penampilannya dalam filem itu.

Secara peribadi, Mohsin puas dengan watak itu apatah lagi peluang membintangi filem period seperti itu tidak selalu datang. Ternyata pengaruh Jimi Asmara agak ‘melekat’ dengan pelakon itu kerana selepas filem terbabit, dia menerima beberapa tawaran watak bercorak period seperti teater, Perempuan Seorang Leftenan Inggeris.

Bagi Mohsin sendiri, watak period memang menarik kerana ia seperti membawanya kembali ke zaman lampau yang klasik. Kelebihan itu juga membawa pengarah asing, John Boorman dalam filem Beyond Rangoon. menawarkannya watak sebagai lelaki Burma

Demi menghidupkan wataknya, Mohsin sanggup botakkan kepala.

Penerbit

Selepas enam tahun berkecimpung sebagai pelakon, Allahyarham memperluaskan langkahnya dengan menjadi produser pada 1994 menerusi syarikatnya, Imagine Pictures. Antara drama yang diterbitkan syarikatnya ialah Boneka, Aida Shada, Kita Bertemu Di Cameron Highlands, Keranda Buat Kekanda, Jauh (12 Episod) dan Pukul 2 Petang.

Pun begitu, Mohsin agak keberatan untuk mencuba bakat sebagai pengarah. Memetik katanya dalam satu temu bual, "Tidak guna jadi pengarah kalau sekadar mahu menambahkan bilangan pengarah tempatan sedangkan hasilnya tiada. Saya belum bersedia kerana banyak lagi ilmu yang perlu ditimba."

Selain berlakon, Allahyarham juga dikenali sebagai pengacara berkaliber. Rancangan permainan, Roda Impian siaran Astro Ria menyerlahkan nama Mohsin sebagai pengacara apabila terpilih untuk memimpin program itu menggantikan Halim Othman.

Mohsin menyertai Roda Impian pada 2003 untuk musim ke lapan dan sehingga ini sudah merakamkan lebih 500 episod termasuk untuk musim ke-11.

Keluarga

Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan aktres dan produser, Tiara Jacquelina pada 11 September 1993 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hani Karmila. Bagaimanapun, jodoh mereka tidak panjang apabila Mohsin dan Tiara berpisah pada 16 Februari 1998. Perceraian mereka disahkan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 4 Jun tahun yang sama.

Belasungkawa

Beliau meninggal dunia pada 25 Julai 2006 di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana pengsan akibat serangan sakit jantung semasa menunggu penerbangan ke Pulau Langkawi untuk melancong bersama anaknya Hani Karmila.

Filem Lakonan

  1. Nadia
  2. Operasi Cegah Jenayah (OCJ)
  3. Hanny
  4. Ringgit Kasorrga
  5. Beyond Rangoon
  6. Jimi Asmara,
  7. Merah
  8. Spinning Gasing
  9. Embun

0 Comments:

Post a Comment

<< Home