Sunday, May 13, 2007

Kala Malam Bulan Mengambang khas buat arwah Hani Mohsin

Oleh Nor Fadzilah Baharudin

BIAR apa juga tanggapan yang dilemparkan terhadap karyanya, pengarah filem Mamat Khalid tidak pernah menganggap itu sebagai kudis yang menyakitkan.

Malah semua kritikan dan tohmahan yang dilemparkan, dianggapnya sebagai pemberi semangat untuknya berkarya. Justeru sebuah lagi filem garapannya berjudul Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) terbitan Tayang Unggul Sdn. Bhd., bakal menemui penonton pada November depan.

Filem genre komedi seram ini membariskan para pelakon hebat seperti Rosyam Nor, Umie Aida, Avaa Vanja, Farid Kamil dan ramai lagi. Telah pun selesai penggambaran selepas dua bulan di lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Tronoh, Perak, Mamat Khalid menjanjikan kelainan yang ketara pada filem arahannya kali ini.

*** Arwah Hani Mohsin memang berjaya menghidupkan watak Jimi dalam filem Jimi Asmara . Arwah agak malu-malu bila melakonkan watak ketika menyanyi hip-hip horey, hip-hip horey. Ketika menonton Jimi Asmara 3 Minggu lepas di RTM serasa arwah masih ada lagi. Manakala Azhar Sulaiman begitu bersahaja menggerakkan badan mengikut irama pop yeah yeah, cayalah. Lakonan pendokong watak filem tersebut begitu berjaya sekali sehingga berjaya membangkitkan nostalgia masa lalu.

Filem ini merupakan sebuah filem berlatar belakangkan tahun 50-an yang disampaikan dalam bentuk Neo-Noir bagi menyesuaikan penceritaannya. Noir berasal dari perkataan Perancis yang membawa maksud perbezaan dari segi stail atau bentuk penyampaian filem itu sendiri di mana KMBM disampaikan dalam bentuk visual hitam putih.

“Memang ini merupakan sebuah filem yang mencabar bagi saya. Filem ini umpama back to basic. Kalau orang lain berlumba-lumba buat filem yang pelbagai teknik dan sebagainya, saya memilih untuk membuat filem hitam putih. Sebab utamanya, saya sukakan cabaran. Filem warna warni saya dah buat. Jadi filem hitam putih ini memberi saya peluang untuk belajar lagi teknik pembikinan filem ketika zaman P. Ramlee,” kata Mamat ketika ditemui selepas majlis pelancaran filem KMBM di ibukota, baru-baru ini.

Paling mencabar, kata Mamat ialah memastikan filem itu kuat dari segi pemilihan pelakon, skrip serta adunannya.

“Saya mahu menarik minat penonton menyaksikan filem ini. Saya ingin membawa mereka ke pawagam, menonton sebuah filem era 50-an yang dibikin pada zaman sekarang,” ulasnya.

Selain itu katanya, set penggambaran yang banyak dilakukan di studio juga antara perbezaan yang ditampilkan dalam filem ini berbanding filem terdahulu.

“Kami jalani pengambaran di studio yang kami bina sendiri setnya termasuk kawasan gua dan gerabak kereta api. Pembikinan filem ini lebih teliti berbanding filem berwarna,” ujarnya.

Menyingkap seketika idea pembikinan filem KMBM, kata Mamat Khalid, ia sebenarnya dihasilkan khusus untuk arwah Hani Mohsin.

Kata Mamat Khalid: “Abang dah bertahun-tahun berfikir untuk buat filem macam ini. Dan abang pernah berbincang dengan arwah. Cadangnya dulu nak buat sebuah filem ala-ala klasik yang sesuai untuk dia (Hani Mohsin) buat come back. Macam filem Jimmy Asmara. Hani memang sesuai dengan corak filem sebegitu. Tapi nak buat macam mana beliau pergi sebelum filem ini sempat direalisasikan. Namun watak utamanya Saleh, memang khas untuk arwah. Malah judul filem ini juga abang terima daripada kiriman SMS terakhir arwah.”

Katanya lagi, filem yang menelan bajet RM1.4 juta itu dihasilkan khusus sebagai menghargai allahyarham Hani Mohsin serta pelakon-pelakon generasi terdahulu.

“Itulah sahaja cara penghargaan yang dapat saya sampaikan kepada mereka semua,” kata Mamat.

Rosyam terharu bawa watak Saleh

Menurut Rosyam Nor, pertama kali menerima skrip filem ini, dia menyangka watak Saleh yang diberikan kepadanya hanya sebuah watak yang mudah.

“Mula-mula saya fikir, biasalah watak komedi. Dulu pun saya pernah bawa watak yang macam itu. Tapi rupanya Mamat Khalid mahu saya bawa watak yang lain daripada biasa. Dia betul-betul nak saya lakonkan seperti pelakon terdahulu. Dari segi pertuturan dialog taklah susah sangat tapi cara penyampaian itu lebih sukar,” kata Rosyam.

Malah katanya, dia telah memberikan yang terbaik untuk menjayakan watak Saleh sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada arwah Hani Mohsin yang sepatutnya melakonkan watak tersebut.

*** Teringat kan arwah Hani Mohsin ketika menonton Jimi Asmara di TV1 3 minggu lepas. Sesungguhnya arwah hanyut ketika melakonkan watak Jimi. Wataknya hidup, cuma agak kekok sikit ketika menari,lebih-lebih lagi aksi beliau ketika mengalunkan lagu hip-hip horey, hip-hip horey bergembira. Kak Teh tergelak-gelak tengok Azhar Sulaiman menari, lengok tubuhnya mengikut irama pop yeah yeah, hidup, dengan jambul tingginya. Adus, asyik sekali tengok watak kedua-duanya. Tak ketinggalan juga pendokong watak lain dlm Jimi Asmara.